Thursday 25 December 2014

Umi of the Kids...

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh....

Hai ! Entri pengenalan memang memakan masa yang lama untuk dikarang bukan....

"Patutkah ku memperkenalkan diri dulu; atau mungkin tak perlu?"
"Perlukah ku berikan sebab inspirasi penulisanku"
"Atau...tulis sahaja semahunya, terus ke penceritaan pun tidak mengapa..."

Krik. Krik. Bingung berpanjangan. 
Saya mulakan dengan cara lama lah....

Hai ! Saya umi. Umi kepada 2 orang anak perempuan dan seorang anak susuan lelaki. Anak-anak perempuan; zahra dan marwa adalah hasil perkahwinan bersama suami saya yang digelar "Abi". Si susuan pula adalah anak adik saya bernama Abu Bakar. Ketika entri ini ditulis, Zahra hampir 2 tahun 6 bulan, Marwa berumur 6 bulan dan Abu Bakar berumur 8 bulan. Abu Bakar tinggal bersama ibu bapa kandungnya, namun kami kerap melawat. Kehidupan kami suami isteri memang dipenuhi warna-warni ragam anak-anak. Seperti ibu bapa lain, suka duka, ketawa tangis kami banyak berkisar tentang mereka.

Impian dan cita-cita kami juga banyak dipengaruhi mereka. Saya sendiri yang sebelum mempunyai anak, sangat bercita-cita mahu menjadi "orang besar", memegang jawatan tinggi di sesuatu organisasi, akhirnya mempunyai cita-cita baru sesuai dengan fitrah, naluri keibuan yang Allah kurniakan. Dengan jalan yang Allah berikan dan galakan suami, saya akhirnya berhenti kerja, menemukan kerjaya baru di rumah dan di samping anak-anak tercinta. Begitu juga suami, sebulan selepas saya berhenti, beliau turut berhenti. Kini kami berdua bekerja dari rumah sahaja bagi meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dan memantau perkembangan mereka seharian. Kehidupan bekerja dari rumah di samping anak-anak tidak semudah yang dilihat, banyak cabarannya dan InsyaAllah hal ini akan saya akan kongsikan di entri-entri seterusnya.

Saya merupakan penulis blog sebelum saya berkahwin, namun hal rumahtangga dan tuntutan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu banyak mengekang saya untuk menulis. Apabila saya baca semula penulisan-penulisan lama, keghairahan saya mengenai penulisan mula kembali. Hal ini kerana, penulisan memberikan saya ruang bercerita, dan yang lebih penting lagi, sentiasa mengingatkan saya akan minat dan mendalami tujuan kehidupan untuk saling berkongsi ilmu dan pandangan. Dahulunya saya banyak menggunakan bahasa pasar, namun bagi penulisan blog ini, saya bertekad menggunakan bahasa penulisan yang betul dan mungkin seminggu sekali menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa penulisan bagi menambahkan penguasaan saya terhadap kedua-dua bahasa. Maklumlah setelah meninggalkan dunia profesional, saya rasakan tahap penguasaan bahasa saya mula merosot. Justeru diharapkan blog ini menjadi medium saya memperkasakan bahasa melalui penulisan.

Saya, umi kepada anak-anak, berharap cerita dan perkongsian yang tidak seberapa di blog ini mungkin berguna dan menghiburkan buat rakan-rakan di alam maya. Saya juga suka mendengar kisah-kisah perkongsian anda. Sudilah kiranya kita berkawan, berkongsi cerita yang baik dan InsyaAllah hasil penulisan ini menjadi asbab kebaikan kita di akhirat kelak. InsyaAllah...